NOTE : Page only available in Malay version


Maklumat SETARA 2007

Satu pasukan yang diketuai oleh Prof. Dr. Che Husna Azhari, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama empat tenaga akademik dari UKM, seorang dari Universiti Malaya dan seorang wakil bebas telah melaksanakan Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Awam (SETARA) pada tahun 2007. Sistem ini diurusetiakan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency,MQA).

Penarafan pengajian tinggi ialah mekanisme yang digunakan untuk mengukur kualiti, kebertanggungjawaban serta penunjuk prestasi institusi pengajian tinggi. Ia merupakan langkah Kementerian Pengajian Tinggi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dalam usaha membudayakan penambahbaikan kualiti berterusan (continuous quality improvement, CQI).

Pembinaan instrumen untuk diguna pakai dalam proses penarafan IPT di Malaysia mengambil kira perbezaan dan diversiti yang wujud di kalangan IPT di Malaysia. Kesemua universiti-universiti awam telah diklasifikasikan kepada tiga kelas seperti berikut:

  1. Universiti berintensifkan penyelidikan (research intensive university) iaitu universiti-universiti yang menumpukan jumlah sumber dan fokus tinggi terhadap penyelidikan.
  2. Universiti umum (broad-based university) iaitu universiti-universiti yang menawarkan program komprehensif dalam pelbagai disiplin.
  3. Universiti khusus (specialised university) iaitu universiti-universiti yang menawarkan program-program dalam disiplin khusus.

Klasifikasi ini bertujuan untuk mengukur daya saing dan membolehkkan pengurusan IPT sentiasa meninjau inisiatif dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan dalam  kelasnya. Klasifikasi ini juga membantu institusi memantau serta menumpukan usaha dan tenaga pengurusan institusi secara terfokus berdasarkan domain dan indikator yang digunakan oleh SETARA.

Sistem SETARA ini berasaskan kepada enam domain utama yang mengandungi 89 indikator yang dibentuk hasil konsultasi dengan semua universiti awam tempatan. Enam domain berkenaan adalah seperti berikut:

  1. reputasi staf akademik;
  2. kepilihan pelajar;
  3. penyelidikan;
  4. program akademik;
  5. sumber; dan
  6. pengurusan

Setiap domain tersebut mempunyai pemberat tertentu dan tiga daripada pemberat (iaitu penyelidikan, program akademik dan sumber) tersebut adalah berbeza berdasarkan domain yang menjadi asas utama klasifikasi universiti. Jadual di bawah mennunjukkan nilai pemberat domain berdasarkan kategori universiti.

Keseluruhan skor setiap pemberat berdasarkan enam domain utama ini kemudiannya dinilai berdasarkan skor 1-6 iaitu:

  1. 1 - Lemah;
  2. 2 - Memuaskan;
  3. 3 - Baik;
  4. 4 - Sangat Baik;
  5. 5 - Cemerlang; dan
  6. 6 - Terbilang

Satu kajian rintis (pilot test) sistem SETARA yang melibatkan pengutipan dan penganalisaan data tahun 2005 dari 16 IPTA telah dijalankan pada tahun 2006 bagi menguji sistem yang dibina. Kajian pertama SETARA dengan menggunakan data tahun 2006 telah dimulakan pada akhir tahun 2007 yang melibatkan 17 IPTA. Tiga buah universiti di dalam klasifikasi universiti umum iaitu Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia tidak terlibat kerana universiti-universiti ini sangat baru dan tidak mempunyai maklumat yang lengkap untuk diinput oleh pasukan SETARA.

Berdasarkan instrumen dan klasifikasi universiti awam seperti yang diterangkan di para enam di atas dengan menggunakan enam domain utama, keputusan SETARA 2007 mendapati bagi universiti berintensifkan penyelidikan, Universiti Malaya berada si skor 5 (Cemerlang), Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia di skor 4 (Sangat Baik) dan Universiti Sains Malaysia di skor 3 (Baik). Bagi kategori  universiti umum, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi MARA berada si skor 4 (Sangat Baik), Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak berada di skor 3 (Baik). Manakala bagi universiti khusus, Universiti Teknologi Malaysia berada si skor 3 (Baik), Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Malaysia Pahang berada di skor 2 (Memuaskan).

Keputusan SETARA 2007

Universiti Berintensifkan Penyelidikan

  • Universiti Malaya - 5 (Cemerlang)
  • Universiti Putra Malaysia - 4 (Sangat Baik)
  • Universiti Kebangsaan Malaysia - 4 (Sangat Baik)
  • Universiti Sains Malaysia - 3 (Baik)

Universiti Umum

  • Universiti Islam Antarabangsa Malaysia -  4 (Sangat Baik)
  • Universiti Teknologi MARA - 4 (Sangat Baik)
  • Universiti Malaysia Sabah - 3 (Baik)
  • Universiti Malaysia Sarawak - 3 (Baik)

Universiti Khusus

  • Universiti Teknologi Malaysia - 3 (Baik)
  • Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia - 2 (Memuaskan)
  • Universiti Pendidikan Sultan Idris - 2 (Memuaskan)
  • Universiti Malaysia Perlis - 2 (Memuaskan)
  • Universiti Malaysia Terengganu - 2 (Memuaskan)
  • Universiti Utara Malaysia - 2 (Memuaskan)
  • Universiti Sains Islam Malaysia - 2 (Memuaskan)
  • Universiti Teknikal Malaysia Melaka - 2 (Memuaskan)
  • Universiti Malaysia Pahang - 2 (Memuaskan)
  • MALAYSIAN QUALIFICATIONS AGENCY
    Tingkat 14B, Menara PKNS-PJ,
    17, Jalan Yong Shook Lin,
    46050 Petaling Jaya,
    Selangor Darul Ehsan

    +603 - 7968 7002
    (webadmin[at]mqa.gov.my)

www.mqa.gov.my